Bagi yang telah lama mengenali saya, pastinya anda mengetahui bahawa saya mudah teruja apabila berbicara tentang politik sehingga saya yakin pasti ada yang berdoa dalam diam agar saya akan segera berhenti membincangkan tentang isu-isu yang selalunya berpanjangan dan berlarutan menjadi perdebatan, lazimnya kerana waktu yang selalu dipilih adalah ketika kami duduk di meja makan/kopi :p Peliknya, saya tidak pula melobi mana-mana parti politik yang wujud di Malaysia malah saya lebih kerap membicarakan tentang suasana politik di luar negara untuk mencetuskan perbandingan dari segi ketelusan dan pengendalian dalaman.
Sebenarnya, saya tidaklah terlalu obses dengan isu-isu ini kerana niat saya cumalah untuk meningkatkan kesedaran politik dalam diri dan juga rakan-rakan tetapi saya selalu berasa terpanggil untuk melihat sebab di sebalik mengapa golongan muda di negara ini secara amnya kurang mengambil tahu mengenai senario semasa berbanding dengan mereka yang seusia kami sekitar 1940-an sehingga lewat 1980-an yang tdak pernah gentar untuk menyuarakan pendapat mereka dalam isu berkaitan politik, tidak kiralah sebagai pemerhati luar atau gerakan dalaman. Saya hanya berharap agar apa yang bakal diutarakan seterusnya di sini mampu membuka minda kita tentang betapa jauh tapi pentingnya kesedaran berpolitik dan tanggungjawab yang dipegang oleh generasi muda di Malaysia, khususnya golongan intelektual yang amat diperlukan untuk membantu mengubah sedikit sebanyak warna politik di sini. Saya juga harap anda faham bahawa ia bukanlah kebenaran yang paling nyata tentang senario politik Malaysia kerana ia hanya pendapat peribadi yang dicetus dari rangkuman pemerhatian, pengamatan serta perbandingan.
Mungkin ada antara anda yang tersenyum sinis kerana menyedari durasi masa di mana kesenyapan politik (jika dibandingkan dengan dekad-dekad sebelumnya) mula melanda negara ini adalah ketika kita di bawah pengendalian Perdana Menteri Ke-4 namun bagi saya, ia bukanlah suatu situasi yang wujud hasil halangan berekspresi secara terbuka tetapi lebih kepada kerana keselesaan hidup yang dilalui membuatkan kita sedikit leka dan lupa untuk melihat belakang kembali dan melihat sebab sebenar di sebalik kemakmuran hari ini. Ramai yang tidak mengetahui, contohnya, Tun Dr M juga pernah dibuang keahliannya daripada UMNO selama 3 tahun dari tahun 1969-1972 kerana menyuarakan pendapatnya secara terang-terangan mengenai beberapa isu dalaman serta apa yang dilihat sebagai sebab "kepincangan" pengendalian UMNO ketika itu. Pemuda UMNO (seolah-olah mereka bukan sebahagian dari petubuhan itu) di banyak kawasan sepakat mengeluarkan memorandum untuk menyatakan sokongan mereka terhadap Dr M dan menyarankan keahliannya diterima serta merta sekiranya permohonan dilakukan. Apabila Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri, Dr M pula yang menjadi tonggak utama kerajaan seperti beliau tidak pernah ditidakkan oleh pertubuhan yang dinaunginya itu.
Ya, ia adalah tidak adil untuk meyalahkan pihak lain di atas keengganan kami untuk mengambil tahu perihal politik Malaysia tapi secara terus-terang, kami tidak pernah dididik dengan kesedaran untuk menjadikan medan tersebut sebagai tempat untuk mengubah nasib serta memperbaiki taraf kehidupan kami. Pada kami, hanya kemajuan ekonomi yang mampu menjana mobiliti sosial dan hal lain boleh dikendalikan oleh pihak yang "bertanggungjawab". Justeru anda melihat anak-anak muda seperti segelintir rakan-rakan saya yang masih belum mendaftar sebagai pengundi walaupun sudah layak berbuat demikian sejak beberapa tahun dahulu dan ada pula yang awal-awal lagi sudah bercadang untuk tidur sahaja di rumah pada hari pengundian kerana tidak menyedar betapa besarya kuasa yang mereka pegang dengan undian mereka. Saya boleh menerima rungutan kecil anda bahawa kita tidak punya banyak pilihan yang bagus untuk dilakukan (one is focused on getting to the Moon with a Rocket while the other seems earthed in turning us into the Land Of The Rising Sun [In Law]) tetapi saya percaya bahawa sekiranya kita gagal untuk menggunakan kuasa yang kita ada, kita telah mengkhianati datuk nenek kita yang bergolok gadai untuk memastikan kita mampu mengecapi apa yang kita miliki sekarang dan juga turut hilang hak untuk mencorakkan masa depan Malaysia untuk anak-anak kita kelak kerana temoh 5 tahun pada tangan yang salah boleh menyebabkan kerosakan yang akan mengambil masa yang terlalu lama untuk diperbaiki.
Tidak dapat dinafikan juga bahawa kerenah dan tingkah laku sesetengah ahli politik juga menjadikan arena ini dilihat sebagai sesuatu yang agak mengecewakan dan tidak memangkinkan kemajuan mana-mana pihak. Lewat 1990-an serta abad baru ni menyaksikan beberapa percakaran kuasa politik yang sedikit sebanyak telah menjejaskan kualiti kepimpinan di dalam parti masing-masing dan membawa kesan ke atas keyakinan rakyat terhadap kerajaan mahupun barisan pembangkang. "Kami tahu apa yang kami lakukan, anda tidak perlu mempersoalkan kami" merupakan antara mesej terselindung dalam kebanyakan jawapan mereka yang berpengaruh ini terhadap teguran-teguran kecil kami tetapi hasil kerja mereka sering tampak tergesa-gesa atau cetek tahap pemikirannya. Keengganan pihak dalaman untuk mempersoalkan kesilapan dan kesalahan yang dilakukan demi untuk menjaga kepentingan masing-masing menyebabkan perkara ini akan terus berlaku dalam kitaran kegagalan yang tidak terhenti. Jika tiada sesiapa yang selantang Tengku Razaleigh untuk bertanya secara terbuka selepas melihat beliau tersingkir (walaupun diterima semula) kerana tidak mahu kehilangan peluang menaiki strata kerajaan, saya rasa kita tidak dapatlah menyalahkan pucuk kepimpinan sebagai memberikan tekanan pula.
Kesan daripada situasi tersebut pula mungkin dapat dilihat pada kemunculan penulis-penulis blog sosio-ekonomi yang secara terang-terangan atau berkias mempersoalkan serta membincangkan kepincangan yang dapat dikesan namun suara mereka pula dikekang dengan ancaman penahanan di bawah akta ISA dan sebagainya (seraya saya teringat kepada wartawan tersohor, A Samad Ismail yang pernah 3 kali ditahan malah sekali pernah dituduh komunis dek kelantangannya di akhbar- kepada anda yang menulis kerana anda percaya kepada tanggungjawab anda, teruskan usaha kerana Tuhan bersama mereka yang jujur dan ikhlas). Ini menambahkan lagi keyakinan kami bahawa suara kami tidak dihargai dan pendapat kami tiada nilainya selagi kami tidak bergelar Yang Berhormat yang dipilih oleh 34% pengundi yang keluar mengundi di kawasan tersebut. Mungkin kami kurang ilmu kami kerana kami muda atau kami kurang akal kerana kami peduli mengenai sesuatu yang kami tidak fahami tapi apa yang kami perhati, bila anda bergaduh, anda tidak pula bergaduh untuk kami sebaliknya untuk diri sendiri... Maka apa gunanya perjuangan ini? Saya masih mencari jawapan yang pasti dan saya amat berharap untuk menemui dalam masa yang terdekat ini bersama anda.
Tuesday, February 12, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
political issue.
topik diskusi hangat ya.
saya naik gila mau pilih yang mana.
altho, masih belum layak. :)
Post a Comment